I survived 2024

2024 dah berakhir. Macam mana dengan 2024 kalian? Bagus? Buruk? Apa yang mahu ditinggalkan? Apa yang mahu dibawa ke depan? Apa yang mahu ditambah baik?

Ini ialah sedikit ringkasan 2024 aku.

2024 ialah tahun yang penuh dengan pengajaran, bagi aku. Apa yang aku doa, aku dapat, dan aku belajar darinya. Banyak yang aku belajar. Kalaulah aku boleh buat graf kehidupan, aku rasa tahun 2024 ni darjah kecuraman dia akan menghampiri 90°.



Dalam draf kualiti okey je. Kenapa entah bila muat naik jadi macam ni.

*Cue lagu rahsia Tuhan.

Sebelum kita tanpa sengaja termengumpat, termengadu, atau ter- ter- yang lain, amatlah wajar kalau kita mulakan sesi ini dengan rasa syukur dan penghargaan dahulu. Supaya hati yang membaca tidaklah panas sangat dengan apa-apa yang aku akan mungkin tulis nanti haha.


Pertama sekali mestilah ucapan syukur kepada Allah SWT kerana telah menetapkan hati ke atas jalan orang-orang beriman. Pada waktu-waktu yang aku fikir tiada jalan keluar, Allah kemudian tunjukkan aku jalan dari arah yang tidak aku sangka. Waktu-waktu begini, aku tahulah yang sebenarnya Allah tengah makbulkan doa Emak dan Ayah, Adik dan Abang, Kak Capiah dan Ucop, dan kawan-kawan baik tak mampu disenaraikan di sini.

Terima kasih kepada Emak dan Ayah yang telah membesarkan Kakak dan menerima Kakak seadanya. Kakak ini banyak cacat celanya, kalau Emak dan Ayah boleh senaraikan sifat dan rupa anak idaman, mesti bukan Kakak bayi yang Emak dan Ayah terima. Terima kasih terima Kakak tanpa syarat.

Terima kasih Adik, Abang, Kak Capiah, dan Ucop sebab telah mewarnakan hari kita. Tanpa korang, mesti hari-hari kita rasa kelabu. Jadi, terima kasih. Kerana wujud. Dan sayang kita. Kita boleh bayang andai kita duduk rumah sewa dan jarang jumpa korang, mesti kitalah manusia paling membosankan dalam dunia. Manalah tak kena mental illness.

Kepada kawan-kawan/ kurang daripada kawan/ lebih daripada kawan, terima kasih juga kerana terima kita semasa di atas, bawah, suka, dan duka. Saya hanya manusia biasa. Ada kata mulut terlebih kata, ada masa mood terkurang biasa, saya akui dan saya minta maaf. Sepanjang semua ini, korang masih sudi reply Whatsapp, jumpa, berkawan, dan sayang kita. Terima kasih.

Terakhir dalam ucapan ini tapi bukan terakhir di hati, penghargaan khas buat Marie, Oreo, Sambal, dan Musafir. Kakak tahu tahun lepas kita banyak lalui ujian dan cabaran tapi terima kasih sebab masih ada. Harapan kakak supaya semua sihat dan bahagia sahaja. Kakak akan jaga semua sampai salah satu antara kita jumpa ajal dahulu.


Aku tkurang pasti macam mana nak mulakan post kali ini. I mean, new year, new me. Tapi, apa yang baru? Dan apa yang tidak? Lama aku fikir apa yang membuatkan kehidupan manusia itu bermakna. Benda ni kalau aku google mudah je. Tapi, takkanlah aku nak suruh Google tentukan apa yang buatkan hidup aku bermakna pula, kan?


1. Agama

Tahun 2024 ialah tahun yang mana bagi aku mencabar. Tak keterlaluan kalau aku cakap, 2024 ialah tahun yang paling mencabar bagi aku dalam dekad kedua kehidupan ini. Tapi, aku pun masih berbaki 2 tahun lagi dalam dekad kedua. Masih ada peluang untuk jadi lebih susah dan sakit haha ðŸ˜‚. 

Aku banyak menangis. Untuk berlaku adil, aku pun memang sejenis cengeng. Tapi, aku tak putus asa dan itu yang paling utama. Lagu tema 2024 - Untungnya, Hidup Harus Tetap Berjalan.

Bernadya - Untungnya, Hidup Harus Tetap Berjalan (Official Video)

Emak dan Ayah did not raise a quitter. A cengeng, maybe. But, not a quitter.

Aku menangis, meraung, menggigil, marah, takut, dan banyak lagi perasaan buruk yang lain. Aku banyak alami emosi yang kuat. Tapi, aku tidak putus asa. Atau sekurangnya aku ada sehingga tanggungjawab terlaksana. 



Bila dah banyak menangis, ada sampai masa air mata sudah tidak mahu keluar lagi. Jadi, apa-apa perasaan yang tidak diluahkan melalui air mata akan diterjemahkan menjadi amarah. Benda ni jadi di luar kesedaran aku.

Tapi, aku sedar yang aku semakin kerap marah-marah. Sangat kerap sampai aku rasa aku hampir-hampir menjadi seorang yang panas baran. Sedangkan, aku ini seorang yang chill! Dan aku suka menjadi orang yang chill. Aku tak suka jadi panas baran.

Aku ada keluarga yang sangat menyokong dalam apa jua keputusan yang aku pilih, dan jalan kehidupan yang aku lalui. Aku juga punya kawan yang sangat memahami. Tapi, memang ada benda yang lebih baik diceritakan kepada Allah Al-Samik berbanding kepada manusia. 



Banyak mengadu dengan Tuhan buat aku sedar, ceteknya ilmu agama yang aku punya. Banyak persoalan hidup yang buat aku tertanya, "kalau dari perspektif Islam, bagaimana?", "apa yang Nabi SAW buat dulu, untuk atasi masalah begini?", "Nabi SAW dan sahabat-sahabatnya yang hidup berpaksikan akhirat, adakah disibukkan dengan masalah dunia juga?", "Macam mana Nabi SAW yang ummi itu, lalui hari-harinya?". 

Nabi SAW itu diturunkan sebagai khabar gembira kepada kita orang beriman dan amaran kepada mereka yang tidak percaya kepada hari kebangkitan. Nabi SAW itu ialah manual kehidupan. Pasti ada jawapannya.  


2. Hubungan sesama manusia

I used to hate being called a people pleaser. People pleaser disinonimkan dengan sifat naif, mudah diambil kesempatan, dan dalam beberapa konteks, ialah terma sopan untuk kata sifat bodoh.

Secara mudahnya, people pleaser ini ialah suatu kelemahan untuk diatasi. Bukti, kalian pernah ke baca artikel yang beritahu cara-cara untuk mendidik diri menjadi people pleaser. Berbanding, berapa banyak pula artikel yang beritahu cara-cara mengelakka diri daripada narsissis? 

Aku tak suka dipanggil people pleaser sebab aku rasa aku dipanggil bodoh. 

Ingat tak aku cakap aku semakin baran dalam poin pertama? Ya, aku semakin kurang toleransi kepada hal-hal yang merepek, atau perkataan kasarnya, bullshit. Benda-benda merepek ini kita boleh bau dari jauh lagi. Dari semalam lagi kita dah boleh bau. 

Kebaranan dalam diri yang aku baru temui ini, buatkan aku rindukan diri yang dulu.

Orang yang melayan kita dengan tidak baik itu sentiasa ada di muka bumi ini. Naiflah kalau aku fikir aku boleh pupuskan mereka. Sedang Rasulullah SAW manusia terbaik yang pernah wujud pun ada haters. Inikan pula aku.

Tapi, aku lupa, atau lebih tepat aku sebenarnya baru sedar lepas muhasabah diri. Dalam beberapa orang yang melayani aku dengan buruk ada berpuluh lagi mereka yang menyayangi aku kalau tidak mencapai ratus. Kasih sayang yang aku terima sangat banyak, sangat tinggi, sangat tebal, dan sangat wangi sampai aku tertanya kalau aku layak mendapatkannya. 

Aku tak tahu. Tapi, aku bersyukur.

Dan inilah kunci kepada hidup berkomuniti. Kesulitan-kesulitan kecil yang kita perlu tahan untuk mendapatkan kasih sayang.

Berada dalam zaman di mana semua orang tidak mahu mengambil tahu pasal jiran-jiran masing-masing kerana tidak mahu dianggap menghakimi, jadilah seorang yang bermasyarakat. Kita bukan jaga tepi kain orang, kita ambil tahu. Kita bukan menyibuk, kita ambil kisah. 


 

 Apakah impak kepada menjadi orang yang bermanfaat ini? Diambil kesempatan? Mungkin. Disayangi? Ramai sekali.

Aku suka disayangi. Sangat suka. Aku harap mereka yang menyayangi aku akan terus sayangkan aku sehingga aku tidak bernyawa lagi. Dan aku pun, akan terus berusaha buat yang terbaik untuk menyayangi mereka yang sayangkan aku. 

Bayangkan mati dalam keadaan tidak disayangi. Semasa roh di kerongkong menahan sakitnya nyawa dicabut dari ubun-ubun, tiada siapa di sisi. Tidak disayangi Allah. Tidak disayangi oleh Emak dan Ayah. Tidak disayangi adik-beradik. Tidak disayangi kawan-kawan. 

Minta dijauhkan kematian begini.

Dari segi hubungan sesama manusia dengan lelaki pula;

Pada umur segini, aku rasa sudah hampir mustahil untuk aku jatuh cinta hahaha. Hal ini orang tak akan faham kalau orang tidak kenal aku semasa aku awal 20-an. Izinkan aku bersikap jujur:

Masa awal 20-an dulu aku dimomokkan dengan cerita-cerita dari lelaki red pill. Contoh, lelaki tidak sukakan janda. Lelaki sukakan wanita muda. Lelaki sukakan wanita yang tidak dicemari dengan moderniti kehidupan. Ini semua agenda Tate si botak tak guna.

LIfe can only be understood in hindsight, okay? Benda ni hanya aku sedar sekarang. Maafkan aku kerana bodoh pada waktu muda.

Jadi, aku terburu-buru mencari jodoh untuk sehidup semati. Aku ingat hal berkenaan jodoh ini is a numbers game. Lagi banyak aku cuba, lagi besar peluang berjaya. Tapi, kehidupan sebenar tidak begitu. Kalau Allah kata belum masa, maka belum masa.

Lelaki yang aku kenal tidak jahat, cuma bukan jodoh.

Pada umur 28 ini, aku rasa macam aku dah kenal semua jenis lelaki hahaha. Tapi, dah tentulah dalam 7 bilion manusia, macam mana aku nak kenal 4.01 bilion lelaki? Mungkin sebab belum jumpa lelaki yang tepat sebab itu aku rasa macam ini.

Kalau ada 1 nasihat yang boleh aku sampaikan daripada pencarian aku mencari jodoh ini kepada perempuan di luar sana ialah, jangan risau. Jangan risau kalau tak ada lelaki yang nak kita. Sebab bekalan lelaki ini tidak terhad hahaha.

Bukan nak rendahkan lelaki. Aku yakin lelaki juga rasakan benda yang sama terhadap perempuan. Akan ada sentiasa lelaki yang berminat dengan perempuan dan perempuan yang berminat dengan lelaki.

Bella pun dapat Syed Saddiq. Maksudnya kita pun boleh! ðŸ˜†

3. Kerja

Aku dah lompat kerja sebanyak 3 kali. Jadi, aku rasa aku layak untuk beri pendapat. Tapi, kalau kalian rasa aku tak layak pun, aku tak kisah sebenarnya. Whatchu gonna do? ðŸ˜†

Konklusi yang aku capai dari pengalaman bekerja aku yang kurang 5 tahun ini ialah: tempat kerja yang sempurna itu tidak wujud. Kita cuma pilih kekurangan mana yang kita mampu tahan.

Aku tak suka menyifatkan orang sebagai "toksik". Sebab tuduhan toksik itu berat, sedangkan kita hanya mengenali orang di tempat kerja, hanya di tempat kerja. Kalau cara kerja tidak serasi dengan satu sama lain, tidak mengapa. Itu hanyalah kerja. Tidak bermakna dia toksik. 

Mana ada manusia sempurna dari segala segi. Lagipun, kita bukan diturunkan ke dunia untuk menjadi manusia yang pandai bekerja.

Tujuan penciptaan kita

Tapi, orang yang buruk personaliti, atau bahasa modennya, toksik, personaliti mereka akan dicerminkan dalam etika bekerja. Contoh, bila bawah tekanan, daripada mencari jalan penyelesaian, mereka akan mencari seseorang untuk disalahkan. Aku tak tahulah orang lain bagaimana, tapi kalau mesyuarat itu lebih daripada 1 jam, ada satu sebab sahaja: nak mencari kesalahan orang.

Aku baran.

Berpuak. Benda ini paling selalu jadi. Aku tak pasti dalam kalangan lelaki macam mana, tapi aku tahu benda ni membarah dalam kalangan perempuan, sebab aku perempuan. Surau pejabat itu, bukan sahaja tempat untuk mendirikan solat, tetapi juga menjadi saksi selingan-selingan gosip sebelum dan selepas solat.

Aku baran.

Bermuka-muka. Sangat berkait rapat dengan poin di atas. Mereka yang menindas ini, sebenarnya tak berani pun untuk bersemuka dengan orang yang ditindas ini. Kalau mereka berani, dah tentu takkan ada sesi umpat-mengumpat. Bunch of cowards.

Aku baran.

Lari daripada tanggungjawab. Tak ada benda sangat yang aku boleh terangkan tentang poin ini. Self-explanatory.

Aku baran.

Mungkin ada banyak lagi sifat mazmumah yang aku tertinggal, tapi secara asasnya kesemua sifat ini ada satu persamaan. Rendah integriti. Tiada siapa suka orang yang rendah integriti. 

Adakah tulisan aku berbunyi peribadi sebab aku bercerita daripada pengalaman? Mungkin.

Pada tahun ketiga kerja aku, aku fikir aku dah tahu semua. Aku mula rasa bosan dengan kerja aku, aku fikir aku dah tahu semua. Aku mula rasa bosan dengan kerja aku. Aku pernah terfikir untuk tukar kerjaya. Haha. Naifnya aku. Sekarang pada tahun kelima kerjaya, pemandangan dunia aku sudah semakin luas, aku semakin sedar betapa banyaknya yang aku tidak tahu.

Skil teknikal, itu sudah tentu. Tapi, benda ini boleh belajar dan sekadar hafal dan faham sahaja. Aku tak kisah sangat. Tapi, pada pendapat aku, skil insaniah itu lebih susah untuk aku belajar. Sebab skil insaniah ini memerlukan aku untuk meruntuhkan ego, membuang segala apa yang aku fikir aku tahu sebelum ini, tukar mindset pola fikir yang aku pegang selama ini. Secara mudahnya, aku perlu terima yang aku akan nampak bodoh. Dan aku kena terima hal ini dengan lapang dada ðŸ˜­.

Aku dah tahu lama dah aku ada masalah untuk suarakan apa yang aku rasa dan fikir secara lisan. Aku lebih pandai meluahkan dengan menulis daripada bercakap. Tapi, benda ini tidak menjadi masalah yang besar sangat pada aku selama ini sebab aku hanyalah junior ikan bilis sahaja.

Semakin aku maju dalam kerjaya, semakin besar tanggungjawab yang aku pegang, semakin penting untuk aku ke depan. Ini menjadi masalah sebab aku tidak boleh menyuarakan apa yang aku rasa dan fikir pada saat itu juga.

Doa aku termakbul apabila aku terjumpa satu video Tiktok. Mengetahui ada manusia lain dalam bahagian dunia yang berbeza mempunyai masalah yang sama dengan aku juga. Buat aku rasa terpujuk. Ada jalan keluar rupanya masalah aku ini. Buat aku rasa, we all in this together!

Apa yang dia buat untuk dia atasi masalah ini ialah dengan cuba rekod diri dia bercakap setiap hari selama 1 minit. Tiada yang luar biasa tentang video dia, macam budak universiti punya video pembentangan haha. Bukan nak rendahkan dia, tapi poin aku di sini ialah, isi bicara itu tidak penting. Lebih penting ialah cuba bercakap di hadapan penonton tanpa henti selama 1 minit.

Aku terbayang buat hal yang sama. Aku rasa janggal dan malu sendiri haha. Suatu pagi semasa aku dalam perjalanan ke tempat kerja, aku terfikir, masalah malu inilah yang aku nak atasi sebenarnya. Jadi, kenapa aku nak lari?

So, here goes :) 

4. Seni

Sejak dari umur aku pandai menulis dan membaca, aku suka menulis. Aku lebih suka menulis daripada membaca. Aku lebih suka menulis daripada bercakap. Jadi, tidaklah berlebihan kalau aku kata aku ada pengalaman menulis lebih daripada sedekad.

Mungkin bukanlah pengalaman menulis secara formal sebab aku tidak pernah terbitkan apa-apa pun. Tapi, tetaplah aku menulis apa yang terbuku di hati dan terlintas di fikiran. Aku suka menulis. Dan, aku dah buat keputusan aku akan kekalkan hobi ini sampai aku mati sama ada orang tahu kewujudannya atau tidak, insyaAllah.

Faedah jangka pendek menulis ni banyak membantu aku untuk kekal waras sebenarnya. Aku tak pandai untuk bercerita masalah tanpa berbunyi seperti merungut, dan aku tidak suka merungut. Aku percaya dan terima, mungkin Allah nak menyediakan aku untuk sesuatu.

Tapi, aku juga manusia biasa. Masalah yang datang, aku tidak lari. Tapi, aku lalui dengan perasaan sedih dan resah. Perasaan sedih dan resah ini banyak mengaburi fikiran rasional aku. Mereka yang tidak sedih dan resah bila dengar aku bercerita, akan kata, "Dah cuba begini?" , "kenapa kau fikir macam tu?" , "kau tahu kan apa kau fikir ni tak betul?" , "janganlah biar perasaan takut tu kawal kau."

Mudah untuk kau kata sebab kau tengah rasional. Di minda, aku pun sedar juga benda itu semua. Tapi, hati ini tetap rasa apa yang aku rasa. Dan aku tak boleh kawal. Kalau aku boleh kawal, aku tak macam ni. Allah itu al-A'lim, al-Basit, as-Sami', al-Basir, dan as-Samad. 

Allah itu tahu, dengar, dan lihat apa yang aku lalui. Allah juga yang inspirasikan aku untuk menulis.

Penulisan yang telah aku hasilkan ialah bukti fizikal kepada nilai-nilai yang aku pegang. Kepada masalah hidup yang telah aku lalui dan cara aku mengatasinya. Menjadikan aku lebih teguh dalam nilai-nilai murni yang aku mahu semat dalam dada.

Tahun ini azamnya ialah untuk menulis dengan lebih konsisten. Dan juga kembali menulis novel.

5. Aktiviti fizikal

Dalam salah satu kelas ustaz Addien yang aku ikuti, ada satu kata-kata dia yang terngiang dalam minda dan buatkan aku terfikir-fikir. Kata-kata ini muncul sambil lewa sahaja sebenarnya. Dia sedang tanya kalau kami mahu teruskan kelas yang sama pada bulan Ramadhan atau masuk ke subjek yang berkaitan dengan Ramadhan bagi menghayati lagi jiwa Ramadan.

"Ulama dulu kalau bulan puasa mereka kurang bersyarah dan banyak menghabiskan masa dengan menulis buku dan baca al-Quran." Lebih kurang beginilah ayat dia. Atas sebab tertentu yang aku tidak tahu pada waktu itu, ayat ini memberi kesan kepada diri aku.

Ayat itu terus terngiang dalam minda aku untuk beberapa jam sehinggalah aku sedar. Aku sebenarnya kagum dengan seberapa banyak kawalan yang ulama dahulu ada terhadap hidup mereka. Faham ke apa aku cakap ni?

Okey, berapa kali je seumur hidup kita buat keputusan penting dalam jangka masa pendek? Hari ini, aku buat keputuan yang tidak mahu bekerja bulan depan, dan bulan depan aku tidak bekerja.

Tanpa rasa macam diri tak bergina dan celaan masyarakat sekeiling. Berapa kali?

Dan katakanlah, aku mampu buat keputusan begini dan ikut kehidupan para ulama dengan banyak membaca dan menulis, sebab aku sendiri pun suka buat kedua-duanya. Aku tahu aku tak mampu sebab aku tidak mempunyai kapasiti sedemikian. 

Maksimum aku boleh membaca ialah 10 minit kemudian aku akan menggigil cari telefon perika apa, tak tahu. Bukan ada orang nak Whatsapp pun ðŸ˜‚. Nak menulis pun dah tak boleh sebab dah tak selesa nak pegang pensil. Nak duduk lama pun tak boleh sebab sakit belakang.

Jadi, tahun ini azamnya ialah untuk mengambil semula kuasa atas kehidupan aku. Betul, kita boleh merancang tapi Allah tentukan. Tapi, kita kenalah berusaha buat terbaik dahulu barulah kita boleh terima bahawa Allah dah tentukan kehidupan kita begini.

Ini usaha pun separuh hati kemudian nak salahkan Allah. Tak malu ke? (kata Hitobal kepada diri sendiri)

Tanpa dinafikan, Khabib Nurmagomedov dan Islam Makhacev pun memainkan peranan dalam keputusan aku ini sebenarnya 😂. I am so into them that I am considering of writing a whole blog post about them hahaha. Tengok jika ada masa dan tenaga.




Ini ialah beberapa benda besar yang telah aku lakukan, hadapi, dan tempuhi pada tahun 2024. Moga aku hadapi tahun 2025 dengan hati yang tenang dan minda yang aman. Moga Allah juga redha dengan segala apa yang aku lakukan. 

Comments

Popular Posts