Sakit Apa yang Paling Sakit? Menurut Aku, Pengkhianatan
![]() |
| Boleh jadi ini mungkin kali yang terakhir. Boleh jadi selepas ini kematian yang menjemputku dahulu. Boleh jadi selepas ini Allah menyibukkan aku dengan hal-hal yang tidak bermanfaat bagiku. |
Hari Wukuf kini kurang daripada 14 hari. Ustaz nasihati adab berdoa agar kebarangkalian doa itu dimakbulkan meningkat dalam tazkirah Subuh:
Aku jarang dapat peluang mahu menangis di sini. Kurang pada penjiwaannya. Kurang pada masa bersendirinya - menjadi pengiring Emak bermakna bersama Emak dan Ayah hampir 24 jam.
Asar yang lalu, aku terima berita buruk. Tidaklah cukup buruk seolah terasa dunia berhenti, tapi cukuplah buruk untuk mengganggu-gugat banyak rancangan masa depan. Selepas asar, aku bermunajat - atau mungkin lebih tepat berdialog dengan Allah.
Apa aku nak buat ni, ya Allah? Jalan mana satu yang perlu aku pilih? Aku ada beberapa pilihan, tapi aku tak pasti mana satu yang paling mudah. Tapi, bukanlah kemudahan yang aku cari. Aku mahu jalan yang Engkau redhai. Mana satu yang paling Engkau redhai, ya Allah? Mana satu?
Berulang-ulang aku tanyakan soalan yang sama.
Jadi, solat Maghrib itu lebih kekhusyukannya. Sebab ada rasa keterdesakan.
Ya Allah,
Kau ampunilah dosa-dosaku dan dosa-dosa ahli keluarga.
Kau lapangkanlah dada kami untuk menerima ilmu dan hidayahMu.
Kau cekalkanlah hati kami seperti mana Kau cekalkan hati para nabi dalam menjalani ujian hidup yang telah Kau takdirkan.
Kau berilah kami petunjuk untuk memilih jalan kehidupan yang Kau redhai.
Kau golongkanlah kami dalam kalangan hamba-hambaMu yang gemar bertaubat dan kuat bersyukur.
Kau jadikanlah kami manusia yang berguna kepada keluarga, masyarakat, negara, dan agama.
Kau tariklah nyawa kami dalam keadaan yang paling Kau redhai dan satukanlah kami dalam syurgaMu nanti, ya Allah.
Ya Allah,
Kau yang Maha Pengampun, ampunilah dosa-dosaku.
Kau lapangkanlah hati dan jiwaku untuk menerima hidayah dan ilmuMu.
Kau cekalkanlah hatiku seperti mana Kau cekalkan para nabi dalam menjalani ujian hidup yang telah Kau takdirkan. Sungguh, segala kekuasaan hanya padaMu.
Aku mohon pentujukMu dalam memilih jalan kehidupan yang paling Kau redhai. Engkau yang telah mendapati aku bingung pada sebelum-sebelum ini kemudian Engkau juga yang telah menunjukkan aku jalan keluar pada setiapnya. Sungguh, Engkau al-Alim.
Kau lindungilah aku daripada mereka yang berniat buruk terhadapku. Kau berilah aku hidayah dalam menangani mereka dengan cara yang berakhlak. Jika Engkau menakdirkan mereka untuk memudaratkan aku, maka berilah aku kekuatan untuk memaafkan dan melupakan. Sungguh, Engkau Maha Pemaaf..."
Pada ayat terakhir, lama aku terdiam tanpa aku sedar. Tekak terasa panas dan pedih. Dada terasa sesak. Semakin dalam dan deras nafas ditarik ke dalam perut dan tersekat-sekat dilepaskan.
Dalam tempoh 2 tahun ini, berturut-turut aku dikhianati. Oleh lain-lain orang dan lain-lain waktu.
Kesemua mereka minta maaf pada akhirnya - ada yang dengan air mata, ada yang sekadarnya. Pada waktu itu, aku terima. Cerita habis diam begitu sahaja tanpa ada episod dendam yang ikut serta.
Dan itulah yang aku mahu. Itulah yang terbaik menurut aku pada waktu itu.
Mereka yang belum berkahwin pada waktu itu sudah selamat berkahwin. Mereka yang belum beranak kini sudah beranak 1. Mereka yang baru beranak 1 pada waktu itu, kini sudah beranak 2. Aku sendiri kini sudah bertukar tempat kerja, mempunyai hobi baru, dan mempunyai lingkaran kawan yang baru.
Masa berlalu dan kehidupan diteruskan.
Tapi, demi Allah aku tidaklah sempurna. Kadangkala, apabila aku terdengar, terlihat, dan terbau sesuatu yang sama seperti waktu itu, jiwa separa sedar aku terbawa ke memori yang lama itu.
Ke momen di mana semua persoalan terjawab. Semuanya tiba-tiba masuk akal. Semua peristiwa dan kejadian kini bersambung dan hampir lengkap. Kecuali satu cebisan lagi.
Kenapa? Kenapa mereka sakitkan aku dengan sengaja dan dengan niat begini?
Aku ikhlas dengan mereka. Aku bukanlah manusia sempurna dan mungkin ada kesalahan-kesalahan kecil yang aku lakukan. Tapi, begitu juga mereka terhadap aku. Begitu juga dengan hubungan kemanusiaan yang lain dalam dunia ini.
Rasa sakit yang datang bersama memori itu, seolah tiada masa berlalu. Aku masih di situ.
Adilkah pengkhianatan yang berlaku berbulan jika tidak bertahun lamanya, aku kena maafkan dalam masa 1 hari? Kenapa mereka boleh bahagia sedangkan aku masih sakit begini? Kalau ada antara kami yang paling layak bahagia, akulah yang paling layak. Balasan yang paling layak mereka terima ialah rasa sakit sebagaimana aku sakit. Semoga tiada 1 malam pun dalam hidup mereka yang tidur dengan lena. Biarkan mereka bawa rasa serba salah itu sehingga mati.
Kemudian, aku tanya lagi dalam hati. Betulkah ini yang diperlukan untuk aku bahagia?
Katakanlah, kalau doa aku dimakbulkan. Mungkin mereka ditimpan sakit yang tiada kesembuhan. Mungkin orang kesayangan mereka berbuat khianat kepada mereka. Mungkin nyawa ahli keluarga mereka diambil. Bahagiakah aku?
Aku dapati hati aku menjawab, kebahagiaan aku tidak tertakluk kepada mereka. Semua doa jahat yang aku niatkan dalam hati hanyalah kesedihan yang menyamar sebagai kemarahan. Kesedihan yang berakar daripada kenyataan, sampainya hati mereka.
Kalau mereka beritahu, atau paling kurang tunjukkan rasa benci mereka terhadap aku daripada awal, aku bolehlah bertindak sewajarnya. Aku boleh jauhkan diri daripada mereka. Aku boleh berhenti bercakap dengan mereka. Aku boleh berhenti fikirkan mereka.
Aku takkan sesakit ini kalau hati ini tidak menyimpan rasa kasih. Kalau minda ini tidak fikirkan kami rapat. Aku tidak akan rasa puas dengan hanya menjerit dan memaki. Aku tahu ini. Allah tahu ini.
Maka, setiap kali aku terasa sakit apabila teringatkan dengan apa yang telah mereka lakukan dan melihat kebahagiaan mereka yang sekarang, aku berdoa. Semoga mereka kekal bahagia. Semoga mereka bahagia lebih dan lebih lagi. Supaya mereka tidak ingatkan aku. Semoga mereka menganggap aku tidak pernah wujud. Semoga mereka menganggap aku ini hanyalah kenangan orang yang telah mati.
Semoga malaikat juga mengaminkan dan mendoakan hal yang sama juga untuk aku.
Rasa sakit kenangan ini mungkin mengambil tahun untuk sembuh. Tidak mengapa, sakit ini biar aku uruskan dengan Tuhan. Balasan mereka biar Tuhan uruskan dengan mereka.
Aku rasa aku tidak layak diperlakukan begini. Tapi, siapa yang tahu siapa yang layak untuk apa? Kita semua hanyalah menjalani ujian yang telah ditakdirkan. Ujian mereka menyakiti aku. Ujian aku melalui kesakitan akibat mereka.
Allah jualah yang tahu hikmah semuanya. Inilah yang terbaik untuk aku mengikut ilmuNya. Aku hanya perlu mendengar dan percaya.
Inilah kesimpulan yang aku capai, kemudian doanya aku sambung, "Kau golongkanlah aku dalam kalangan mereka yang gemar bertaubat dan kuat rasa syukur. Janganlah Kau pesongkan hatiku setelah kau tunjukkan jalan kebenaran.
Kau jadikanlah aku manusia yang berguna kepada keluarga, masyarakat, negara, dan agama. Jadikanlah aku manusia yang cintakan ilmu. Jauhkanlah aku daripada menjadi fitnah kepada agama.
Janganlah Kau tarik nyawaku kecuali dalam keadaan yang Kau redhai, ya Allah.
Rabbana atina fiddunya hasanah. Wa fil akhiroti hasanah. Waqina adzabannar. Wasollah hu ala saiyidina Muhammad, wa ala ali saiyidina Muhammad. Walhamdulillah hi robbil alamin."
Nafas panjang aku hela. Air mata aku seka dengan hujung telekung. Semua urusan keduniaan dan akhirat aku serahkan pada Tuhan. Apa-apa takdir Tuhan itulah yang terbaik mengikut ilmuNya.
"Selesema ke, kak?" Emak tanya selepas salam kedua.
"Haah."
"Itulah. Emak pun rasa macam nak tak sihat ni."
Keesokannya, Emak benar-benar tidak sihat. "Ni jangkit dengan Kakak lah ni."
Aku diam tidak mengiyakan atau membantah.

Comments
Post a Comment