Doa, Cita-Cita, dan Impian

 

Ahad, 16/6/2024. 

Hari ini ialah hari Arafah. Hari di mana sempurnanya agama Islam. Hari di mana sekiranya kita berpuasa, ganjarannya dapat menghapuskan dosa kita setahun yang lepas dan setahun yang akan datang. Hari di mana, "sebaik-baik doa ialah pada Hari Arafah," doa mustajab.

Esok ialah Hari Raya Haji. Esok kita sembelih lembu 🤣.

Semakin aku mendewasa, aku semakin bergantung kepada kekuatan doa. Kata-kata, "doa itu ialah senjata mukmin," lebih aku yakini dan resap dalam jiwa. 

Aku yakin, orang dewasa yang bertanggungjawab faham dengan apa yang aku katakan ini.

Sebelum dewasa kita ada banyak jaring keselamatan. Jika kita tidak tahu, kita ada banyak tempat untuk bertanya. Kalau kita tersalah langkah, kita ada banyak pihak yang boleh membantu. Malah, kalau kita cukup bertuah, dikelilingi dengan orang yang mempunyai jaringan yang betul, mereka akan menawarkan pertolongan tanpa diminta.

Bukan nak kata sekarang kita dah tak ada semua itu. Tapi, kebanyakan masa? Tiada. 

Itulah hidup. Jangan mengeluh. Atau sekurangnya jangan mengeluh kepada orang yang salah.

Sekarang aku menjejaki akhir 20-an. Semakin aku rasakan. Tiada siapa pun yang dapat membantu aku dapatkan apa-apa pun yang aku mahu. Kecuali dengan izin Allah.

Allah Maha Tahu. Allah Maha Besar.

Janganlah kita menjadi manusia yang rugi dengan melepaskan peluang berdoa hari ini. Kalau kita tidak berdoa pun, Allah Maha Tahu apa yang terlintas dan apa yang kita mahukan. Rugilah. Sedangkan Allah itu Maha Besar. Apa-apa permintaan pun Allah mampu kabulkan. 

Waktu mustajab ada 24 jam, banyak yang aku minta. Senarai doa yang aku tulis lebih kurang 3 mukasurat A4, makan masa lebih kurang 1 jam juga untuk aku tulis. Sakit lengan aku menulis. 

Beberapa doa utama yang aku mahu kongsi (supaya kalian pun boleh mendoakan aku sekali) ialah:

1. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa aku yang lampau dan yang akan datang

Kita semua pendosa. Memang kita takkan pernah menjadi sempurna. Memang Allah ciptakan kita manusia dengan cacat cela. Tapi, tak bermakna kita kena berputus asa dengan rahmat Allah. 

Allah itu Maha Pengampun. Tiada dosa yang mustahil untuk diampunkan sekiranya kita bertaubat. Syurga itu ialah destinasi yang mahal. Sebanyak mana usaha kita pun, tidak akan membuatkan kita mampu menjejakkan kaki ke sana kecuali dengan izin Allah.

At-Tawwab. Allah itu Maha Penerima Taubat.

Semoga kita semua tergolong dalam hamba yang bersyukur dan gemar bertaubat.

2. Kurniakan kesihatan yang baik untuk aku, ahli keluarga, dan orang-orang yang aku kasihi.

Emak dan Ayah kini sudah mencecah 60 tahun. Sambal sudah 6 tahun. Ketiga-tiga mereka kini perlu memakan ubat setiap hari untuk memastikan kesihatan mereka konsisten.

Aku ingat betapa aku terkesan apabila aku menemani Emak dan Ayah mengambil ubat di Klinik Kesihatan Kajang dan mendengar Veterinar yang merawat Sambal menggelarnya sebagai, "kucing tua."

Aku tahu mereka sudah tua. Tapi, aku tak terasa. Aku sendiri sudah menghampiri 30 tahun. Aku ingat lagi ketika aku rasa geram bila orang kata aku ini, "1/4 abad."

Aku harap mereka dapat merasakan bakti yang aku berikan. Aku harap kasih sayang aku kepada mereka dapat dicerminkan dalam tindakan. Aku harap Allah kuatkan kasih sayang antara kami hingga akhir nanti.

3. Diberikan pekerjaan yang baik

Aku kini sudah menganggur lebih dari sebulan. Beberapa temuduga sudah aku pergi. 

Tidak pasti di mana kurangnya tapi aku belum jumpa. Pernah aku tanya Copea, "aku ni teruk ke?" Dalam konteks temuduga kerja. 

Tapi, Copea kata, "Tak. Belum rezeki je," yang mana aku setuju. Betul. Rezeki je. Cuma kadang-kadang, itulah, bila penat syaitan itu menghasut.

Aku tidak mahu putus asa.

Semoga Allah berikan aku pekerjaan yang baik, dengan gaji yang baik, kawan-kawan kerja yang baik, bos yang baik, dan pada waktu yang terbaik. 

4. Diberikan jodoh yang baik

Selepas patah hati awal bulan 4 hari itu. Aku tidak pasti jika ini dikira putus asa, tapi aku jadi malas nak kenal orang baru. 

Sepanjang 4 tahun aku bekerja, inilah waktu aku paling single sekali 🤣. Aku tak menolak sekiranya terjumpa jodoh, tapi aku boleh rasa yang aku tidak akan berjumpa jodoh pada waktu yang terdekat.

Aku harap, bila aku jumpa itu, itu ialah waktu yang terbaik untuk kami berdua.

5. Diberikan kesempatan untuk menunaikan haji dengan Emak dan Ayah

Hujung tahun lepas, Emak dan Ayah ajak aku menunaikan haji memandangkan aku seorang sahaja yang kini tinggal di rumah. Abang sudah berkahwin. Adik pula kini sambung belajar.

Tiada sebab aku nak tolak. Jadi, aku setuju sahaja.

Atas faktor yang kompleks dan aku tidak mahu terangkan dengan panjang lebar, rancangan itu tidak jadi. Jadi, aku kembali mencari pekerjaan like a career woman that I am. Haha.


Post kali ini agak pendek nak dibangdingkan dengan post-post sebelumnya. Sebab hari ini aku agak emosi jadi aku tidak mahu tulis panjang lebar haha. Semoga doa-doa kita pada hari ini dikabulkan. Selitkan nama aku dalam doa, kawan-kawan!

Comments

Popular Posts