Ketidakpuasan Hati Terhadap Aang

Pernah dengar quote, "never knew what you needed til you had it,"? 

Orang kata, The Missing Piece.

Itulah hubungan aku dengan Netflix. Aku tak tahu betapa kosongnya rutin harian aku sampailah menonton Netflix menjadi sebahagian daripadanya. Aku bukanlah jenis yang subscribe apa-apa media platform. Yang bukan media platform pun aku tak subscribe. Kalau aku boleh dapatkan fungsi yang sama dengan percuma dan halal, kenapa nak kena bayar?

Dia sama ada aku ni orang yang berjimat-cermat, atau ada masalah komitmen. Tak pasti yang mana satu.

Baru-baru ini Adik ada subscribe Netflix. Cuba teka siapa yang paling beruntung sekali dalam hal ini?

Ya. Aku. Haha.

Nota: Terima kasih Adik yang baik hati dan solehah. Kakak sayang Adik. 

Semua cerita yang aku pernah teringin nak tengok, semuanya aku (cuba) tengok sebab aku ada masa. Baru-baru ini aku habiskan animasi bersiri Avatar: The Last Airbender (sekarang tengah tengok The Atypical Family). Ada 3 musim, tapi dalam Netflix dia tulis Book 1, Book 2, dan Book 3.

Kegemaran aku ialah Book 2. Bila masuk Book 3, jalan cerita agak meleret seolah penulis (atau sesiapa yang bertanggungjawab membuat jalan cerita) dah tandus idea untuk bina plot dan sekadar nak memanjangkan cerita. Mungkin bajet dan masa ada lagi, tapi idea dah tak ada 🤣.

Sebab paling besar aku tak berapa gemar Book 3 ialah terlalu banyak elemen romantik yang tidak menyumbang kepada plot cerita pun. Ya, aku faham zaman remaja dengan fenomena cinta pertama itu sesuatu yang tak asing dan mereka cuba buat penonton rasa terkait dengan watak. Tapi, aku tak berapa gemar elemen ni sebenarnya. Sebab:
1. Ada rasa cinta itu normal. Aktiviti bercinta ketika umur setahun jagung itu yang tak normal

    Nota: Ko bercinta masa sekolah siap ko Ucop. Cikya kasitau Mama dengan Baba, ko gatal.

2. Aku tidak suka dengan budaya bercinta dari Barat.

Avatar dan kawan-kawannya

Tak. Aku bukan nak buat ulasan mengenai siri ini. Siri animasi ini dikeluarkan pada tahun 2005. Nak ulas pun, tiada siapa kisah 🤣. Cerita dah lama, dah basi. Aku saja yang lambat tengok haha 🤣.

Aku nak kritik ketidakadilan dan ketidakmatangan Avatar dan kawan-kawan dia. Ya, ya, aku tahu memang semua watak cerita dalam cerita ni ialah remaja dalam lingkungan 12-16 tahun (kalau tak silap Zuko umur dia 16?). Tapi, aku yang memang sudah sedia tidak faham dengan ketidakmatangan mereka  bertambah tidak puas hati dalam Musim 2 Episod 16

Appa di sini bukan bermaksud ayah. Appa di sini merujuk kepada haiwan peliharaan Aang (Sambal ialah haiwan peliharaan aku). Appa dikira haiwan eksotik kerana berasal daripada komuniti airbender yang sudah pupus. Kiranya dalam spesis Appa, Appa seekor sahaja yang masih hidup dalam dunia mereka.

Appa budak baik

Jadi, tak pelik kenapa orang nak culik Appa.

Dari awal cerita lagi aku sebenarnya tak puas hati dengan cara mereka melayan Appa. Walaupun Appa ialah seekor haiwan, tapi dia juga membantu dalam dinamik kumpulan mereka. Apabila mereka mengembara malam, mereka akan tidur di atas Appa sedangkan Appa akan terus terbang sehingga ke destinasi, yang mana aku rasa agak tidak adil.

Malah, kalau nak ikutkan, sumbangan Appa lebih besar dan leih lama daripada kawan-kawan Aang yang lain. Kali pertama Aang dijumpai Katara dan Sokka, Katara belum mahir water bending, dan Sokka sedikit biadap. Jadi, kenapa bila Appa diculik, Aang merasa seperti mencari Appa itu kurang penting berbanding misi mereka?

Katara adik dan Sokka abang

Tapi, tak apalah. Hanya sebab aku ni pencinta haiwan peliharaan, tak semestinya orang lain pun kena begitu juga. Ada orang yang memang pelihara haiwan untuk membuat kerja. Aku sahaja yang pelihara  Sambal supaya dia dapat bersenang lenang. Tugas Sambal ada 3:

1. Kekal comel
2. Kekal sihat
3. Kekal bahagia dan membahagiakan

Sambal intan payung dan pengarang jantung

Aang selalu libatkan Appa dalam misi dia yang berbahaya. Masalahnya, tanpa rasa risau dan tanpa rasa bersalah.

Aku tak boleh bayangkan kalau aku buat Sambal macam tu. Sambal memang sejak aku dapat dia berumur 5 bulan, memang dibesarkan di dalam rumah sahaja. Kalau keluar, akan ada mata yang perhati, biasanya mata aku. Atau sesiapa ahli keluarga aku yang di luar rumah.

Masa banjir teruk yang berlaku di Shah Alam, aku pernah terfikir apa aku nak buat dengan kucing-kucing aku ni kalau banjir itu berlaku kepada aku? Air naik sampai paras bumbung. Lumpur memenuhi rumah. 

Aku pula ada 4 ekor kucing dan 2 belah tangan sahaja. 

Selepas linangan air mata memikirkan senario yang tidak pernah berlaku kepada aku ini, aku buat keputusan, sekiranya bencana alam yang sama berlaku kepada aku: Kucing yang lain akan aku lepaskan dengan harapan mereka dapat menyelamatkan diri mereka (mereka pandai panjat) dan Sambal akan aku gulung dengan tuala dan bawa dia lari di celah ketiak.

Aku tahu, Sambal ni kalau bergaduh dekat luar memang tercirit dia. Tapi, setakat ni dia tak pernah bergaduhlah sebab sebelum bergaduh lagi aku dah leraikan.

Masa Appa diculik, dia bersama-sama dengan Toph. Toph gagal selamatkan dia sebab Toph sedang cuba tahan hidden library dari masuk ke tanah. Lagipun, Toph buta. Appa meski haiwan jinak, tapi bila diserang, dia tidak menyerah dan berlaku sedikit pergelutan.

Toph sedang sibuk tahan hidden library dari dimakan padang pasir

Masa ni aku dah mula sebak dah hahaha 🤣. Sebab aku boleh bayang Sambal bergelut dengan orang asing. Pada mata aku, Sambal ialah kucing paling jinak dalam dunia. Bukti, aku tidak pernah dicakar oleh dia. Tapi, Sambal tidak jinak dengan semua orang. Jadi, default state dia bukanlah jinak.

Macam kelakar kan dengar kucing kena culik? Tapi, ni kisah benar. Kucing pun boleh diculik. Kucing kena culik. Dalam video yang aku lampirkan, kucing yang diculik berasal dari baka mahal dan Sambal berasal dari longkang sahaja. Tapi, lepas 6 tahun dibesarkan dengan kasih sayang tanpa belah bahagi, ramai orang tanya apa baka Sambal. Bila aku cakap baka longkang orang tak percaya.

Aku risau Sambal dijumpai oleh penculik yang bodoh sahaja. Nak culik pun tak tahu baka apa. Main culik sahaja. Geram aku.

Bila Aang sempat keluar daripada hidden library dan diberitahu oleh Toph yang Appa diculik, mereka cuba sedaya-upaya untuk mencari Appa. Ada satu ketika, Aang sangat marah dan sedih sehingga dia masuk ke Avatar State

Avatar state

Benda ni mungkin agak dramatik untuk aku katakan, tapi aku boleh rasa apa Aang rasa. Kalau Sambal diculik, dan aku diberi peluang untuk berjumpa dengan penculik itu, ingat aku nak tenang-tenang saja ke? 🤣

Aku rasa untuk beberapa minit, aku akan hilang akal. In fact, aku rasa aku akan lebih menyesal kalau aku tak bersikap hilang akal.

Aku sayang Sambal. Aku yakin, Sambal juga sayangkan aku. Tetapi, beberapa kali Sambal cuba melarikan diri, mungkin sebab rimas dikongkong di dalam rumah. Aku tertanya kalau di kalangan kucing pun ada peer pressure. Mungkin, kerap kali diusik oleh kucing yang datang singgah di rumah membuatkan Sambal rasa dia cukup dewasa untuk survive di luar sana?

Entah. Aku tak tahu. 

Tapi, setiap kalinya, Sambal aku balik kurang dari 2 jam. Dalam masa 2 jam semasa Sambal hilang itu, cuba teka siapa yang mencari dia dalam longkang kawasan rumah dan kaki lima rumah jiran? Ya, aku dan Adik.

Me and Adik are going insane over Sambal

Sambal disayangi oleh semua. Tapi, Sambal paling sayang aku. Fax no printer.

Aang dan geng pergi ke Ba Sing Se, kota yang dipenuhi dengan imigran. Di situ, semua orang bebas dan mempunyai status yang sama. Aang dan kawan-kawannya dilayan seperti golongan elit kerana mereka memang orang elit, Aang seorang avatar, orang yang ditakdirkan akan menyelamatkan dunia, Toph pula memang dari kalangan keluarga yang kaya raya.

Nama terakhir Toph sahaja mampu menjadi tiket untuk mereka ke mana sahaja dengan layanan istimewa.

Sedang mereka nikmati semua keistimewaan ini, Appa telah dijual ke sarkas dan dipaksa untuk membuat persembahan dengan aksi-aksi yang tidak pernah dia lakukan kepada orang-orang yang dia tidak kenal. Jika Appa gagal mengikut arahan, dia akan dipukul menggunakan api.

Tak guna betul siapa yang dera Appa ni

Ini mengingatkan aku kepada Sambal yang penakut. Bunyi blender sahaja pun dah buat dia mencicit lari menyorok di dalam bilik. Tak boleh bayang aku kalau dia dipukul, yang mana aku takkan benarkan sesiapa pun buat. Tak akan. Meski tanpa sengaja sekalipun.

Appa kemudian melarikan diri dan cuba mencari Aang. Tapi, macam manalah dia nak cari Aang?  Nak tanya orang, tak reti cakap pula 😞. Kepercayaan dia terhadap manusia pun sudah banyak terhakis kerana kesakitan yang dia lalui. Banyak malam dia habiskan keseorangan dalam kesakitan, ketakutan, dan kesedihan.

Sedangkan sebelum ini dia tidak pernah bersendiri pun. Waktu tidur mahupun waktu jaga.

Aku ada pengalaman mengerjakan umrah. 2 minggu aku tinggal Sambal di rumah. Abang, aku beri upah untuk tolong isi makanan, bersihkan kotak litter, dan beri minuman sepanjang ketiadaan aku. Aku tak minta sebab aku tak mahu bebankan Abang, tapi kalau ada sedikit ehsan daripada Abang, semoga Abang beri sedikit perhatian kepada Sambal.

Sekadar hilangkan sunyi dia.

Sambal tidak boleh tidur tanpa aku waktu malam. Selewat apa pun aku balik, dia pasti akan tunggu aku di depan pintu bilik. Waktu siang, aku bekerja, dia akan tidur di kawasan yang ada orang. Jika Emak sedang duduk di dapur, maka di dapurlah dia tidur walaupun itu bukan kebiasaannya.

Selepas habis 2 minggu mengerjakan umrah, beberapa malam pertama aku tidur di rumah, Sambal akan terjaga tengah-tengah malam. Kemudian, dia mengiau. Kuat dia mengiau. Seolah-olah minta tolong. Sambal kucing yang dimanjakan dan ditatang bagai minyak yang penuh. Sambal jarang mengiau sebab keperluan dia selalu aku penuhi sebelum sempat dia merasa kekurangan pun.

Setiap kalinya, aku akan terjaga dan pujuk Sambal, "kakak ada sini." Setiap kalinya juga, Sambal akan berhenti mengiau dengan mendadak seolah-olah baru tersedar, "oh, kakak ada dekat sini dah." Banyak malam aku menangis kerana rasa bersalah haha.

Boleh bayang tak betapa kuatnya aku teresak semasa menonton episod ini? Begitulah, sekadar nak berkongsi cerita haha.

Lemah betullah tengok penderaan haiwan ni

Comments

Popular Posts