Self Reflection: A Humbling Question

Cara-cara menerima kesilapan lampau

Aku percaya nilai murni yang paling penting dalam seseorang ialah rasa rendah diri. Bila ada rasa rendah diri, barulah nilai murni yang lain boleh menyusul.

Bila rasa diri ini tidak sempurna, kita mudah memaafkan kesalahan orang, sebab, kita tahu kita juga ada cela. Bila sedar akan cela diri, kita mudah rasa bersyukur sebab, despite all my flaws, Allah masih beri rezeki. Alhamdulillah.

Tak. Rasa rendah diri tak sama dengan insecurity. Atau sekurangnya itu apa yang aku percaya.

Rasa insecure itu normal sahaja. Manusia yang paling tinggi keyakinan diri pun, ada masa mereka malu dengan diri sendiri. Sama ada mereka mengaku atau tidak sahaja.

Tapi, tidak normal apabila menjadikan insecurity itu identiti diri. Ubahlah. Tiada siapa yang suka berdampingan dengan orang yang benci diri sendiri dan mengharapkan orang lain juga bencikan diri mereka sendiri.

Terima je kenyataan yang kita tak akan dapat menjadi sempurna. Forgive yourself and move on.

Apa yang aku percaya, hidup sebenarnya bagi kita 2 pilihan sahaja. Sama ada:

1. Baiki diri
2. Hidup dalam penyesalan selamanya

Sabtu yang lepas (25/5/2024) aku berjumpa dengan Copea. Macam biasa haha. Pagi itu kami ke Perpustakaan Kuala Lumpur sebab aku ada kerja sedikit dan Copea menjadi seorang kawan yang baik, bersetuju dan buat kerja dia.

Kami tak banyak bersembang dalam perpustakaan, sebab:
1. Kami dalam perpustakaan
2. Masing-masing sibuk dengan kerja 

Tapi, hanya sebab kami ada kerja, tak bermakna outing kami kena bosan. Jadi, sebaik sahaja sampai, kami meneroka setiap penjuru perpustakaan. Kami dapati ada bilik gaming di tingkat 1.  Bilik penuh. Tapi, kami datang ke sini dengan misi. Main game, bukan salah satunya. Jadi, bilik itu kami lepasi dengan janji akan datang semula sebelum balik.

Memenuhi janji, sebelum balik, kami singgah semula ke bilik game itu. Ada hal yang kelakar jadi di sini. Bila aku ingat semula pun, aku masih tergelak kecil. Hahahaha 🤣🤣🤣.

Bilik gaming itu dipenuhi dengan 5 ke 6 orang budak lelaki yang berusia dalam lingkungan 10 ke 14 tahun, tapi hanya seorang sahaja yang duduk di atas sofa memegang controller PS5 dan yang lain berdiri di sebelah sofa itu. Copea ajak masuk, tapi aku segan. 

Kami bergaduh di depan pintu bilik beberapa saat sebelum Copea masuk sahaja ke dalam. Copea minta izin, "Dik, bagi kitorang main sekejap boleh?" aku tambah, "Sebab kami dah nak balik."

Pertama sekali, kami tak reti pun main PS5. Keduanya, nak main game apa pun tak tahu. Nak main, hanya sekadar nak mencuba.

"Sekejap eh, kak."

Sekejap yang dikatakan, tidaklah sekejap mana. Cukup lama untuk buat kami rasa kekok berdiri di penjuru bilik. Mungkin kawan-kawan dia pun rasa lama, mereka mula beri tekanan, "cepatlah, weh. Cepatlah. Kakak tu nak main pulak. Cepatlah." Bayangkan 3 ke 4 orang budak lelaki ulang ayat yang sama untuk beberapa minit.

Budak lelaki itu nampaknya tak boleh work under pressure, sebab beberapa saat kemudian, dengan muka berkerut macam menahan tangis, mula naik suara, "korang jangan panggil aku noob eh! Korang panggil, siap korang!"

Aku tergelak kecil, cuba tahan suara daripada terkeluar. Tidak mahu menambah beban di dada budak lelaki itu, aku ajak Copea keluar. "Emosi pulak dia ni, Cop. Balik jelah, jom," yang mana Copea setuju. Kami terus keluar bilik gaming dan keluar perpustakaan.

Selepas Asar, perancangan kami nak ke PWTC bertukar ke KLCC. Sebab Copea nak makan Kfry. Aku okey sahaja. Lagipun, aku tak pernah pergi sana.

Aku rasa aku tak pernah pergi KLCC. Nak kata tak pernah tu, macam menipu sangatlah pula 🤣. Sekali masa kecil. Sekali lagi atas urusan kerja. Untuk kedua-dua kalinya, aku tak ada memori. Sama jelah dengan orang yang tak pernah pergi.

Aku bukanlah peminat makanan Korea. Bukan tak suka, cuma bukan kegemaran. Kalau member ajak (lagi-lagi kalau Copea pula yang ajak 💓), boleh makan. Tapi, tak pernah teringin. 

Restoran berdegar-degar dengan bunyi lagu Kpop dari seluruh pelosok. Dari mana-mana arah pun boleh tengok oppa dan unnie. Aku faham kenapa ramai anak muda suka makan di sini. Selain makan sedap, boleh fangirl juga 🤣. 

Aku dah habis dah zaman fangirl dengan lelaki Korea. Dah sampai masa kena cari calon suami je sekarang ni.

Aku tak kategorikan Copea sebagai peminat Kpop tegar. Dia jarang bercerita pasal Kpop dengan aku. Aku kategorikan dia sebagai peminat Hanbin tegar. Kerap juga dia cerita pasal Hanbin dekat aku. Sebagai pendengar yang baik, aku angguk saja. Bila makanan mula sampai, kami diam sekejap sebab masing-masing lapar.

Aku tak ingat macam mana boleh munculnya soalan ini, tapi aku ingat aku terkejut apabila Copea tanya, "masa zaman sekolah kau rasa kau budak pandai ke Hitobal?" 

Bila aku tulis macam ni bunyi dia condescending gila, kan? Haha (boleh kecam Copea dekat sini blog Copea, guys). Tapi, tak pun sebenarnya. Ini hanya salah satu perbualan antara kawan baik daripada banyak lagi perbualan peribadi yang lain. Lagipun, a good person in your life will make you do that, self-reflect. You don't want people who agree with you all the time. That's not love.

Aku tak tahu apa punca dia tanya aku soalan begitu. Tapi, aku anggap itu hidayah daripada Allah jelah supaya ingat asal-usul 🤣. 

"Haah."

Copea angguk. As if that one word answer made sense to her. Macam, lepas aku jawab itu everything just clicks.

Sejujurnya, aku rasa aku bukanlah budak yang baik masa zaman sekolah dulu. Bukannya aku ni mencuri atau fitnah orang. Aku jenis buat kerja sendiri je. Macam budak normal yang lain. Tapi, aku ada tendency untuk rasa diri lebih baik dari orang lain haha 🤣. 

Aku tak perasan pun benda ni, sampailah aku mendewasa, kemudian bila aku teringat semula aku yang zaman sekolah, "jahat juga ek aku ni." Hahaha. 

Aku yang zaman sekolah bersifat kompetitif. Sifat kompetitif ini pula, aku percaya, berpunca dari insecurityAku suka membanding-bandingkan diri sendiri dengan orang lain. Tak, aku bukan nak memburukkan zaman silam aku. Aku rasa apa yang aku lalui itu, ialah sesuatu yang perlu aku lalui untuk jadi aku yang sekarang.

Aku yakin, itu memang takdirnya.

Semakin banyak umur, aku semakin bijak menilai prinsip dan nilai murni apa yang aku mahu pegang teguh dalam kehidupan. Sifat kompetitif masa zaman sekolah itu sudah lama aku buang. 

Ada 7 billion manusia dalam muka bumi, macam mana kita nak menang semua? Kalau boleh pun, kita takkan boleh menang setiap masa. Akan sampai masa, kita tewas juga. 

Dan bila sampai masa ketewasan itu, terimalah dengan rendah diri.

Tak, aku bukan menggalakkan orang untuk berputus asa. Buatlah yang terbaik. Buat yang terbaik dalam semua hal. Semua aspek kehidupan. Terutama sekali yang melibatkan hubungan dengan manusia. 

Tapi, berlapang dadalah dengan hasilnya nanti. Hasil selepas usaha sedaya-upaya kita bukan lagi dalam kawalan kita. Berdoalah. Semoga apa yang kita inginkan, Allah makbulkan.

Aku yang mendekati 30 tahun ini lebih bersifat relaks. Sesiapa yang mengenali aku di dunia sebenar boleh vouch for this. Akulah orang yang paling mudah bertolak ansur sekali 🤣. Aku rasa aku terlalu chill, sampai membosankan. Tapi, ini cerita lain pula lah.

Hitobal yang 17 tahun rasa dia dah dewasa dan orang dewasa yang tak faham dia. Hitobal yang 27 tahun rasa remaja 17 tahun kelakar dan tidak faham mereka. Begitulah hidup.

Comments

Popular Posts