I am confused, angry, and scared

29/9/2024 Ahad, 11:00 AM

Aku, 2 bulan kebelakangan

Laptop peribadi yang aku baru beli tahun lepas hampir sama harga dengan gaji aku sebulan berhabuk. Penuh dengan bulu kucing dan habuk-habuk. Tak ingat bila kali terakhir aku hidupkan dan guna.

Samalah juga dengan blog ini. Kali terakhir aku post sesuatu ialah 21/6/2024. Lebih kurang 3 bulan yang lepas. Lebih kurang. Lebih kurang.

Masa aku mula-mula cipta blog ini, niatnya ialah untuk perlahan-lahan jana wang daripadanya. Supaya suatu hari nanti, aku boleh berhenti daripada dunia korporat ini.

Jadi, bila aku ketandusan idea untuk menulis, atau hasil tulisan yang aku rasakan tidak berbaloi untuk aku siarkan, aku tidak post. Bila aku siarkan post yang kali ini, menjadi tanda jelas, cita-cita yang ini aku dah kuburkan. I give up to monetize this blog. How can i make money out of my own suffering ðŸ¤£.

Khabar aku sekarang, baik, Alhamdulillah. Hidup aku jauh daripada sempurna. Tapi, Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Post kali ini, bukan rungutan. Hanya sekadar cuba untuk memahami semua Allah takdirkan untuk aku akhir-akhir ini. Aku tahu aku perlu bagi Allah buat kerja Tuhan, dan aku perlu izinkan diri sendiri untuk menjadi manusia. Tapi, aku cuma mahu faham apa yang berlaku, dan apa aku rasa mengenai semua ini.

Terlalu banyak hal berlaku, aku tidak ada masa untuk proses 1 per 1. Sentiasa ada hal yang lebih penting untuk aku lakukan berbanding cuba menghadamkan hal yang telah berlaku. Nantilah, nantilah.

Tapi, minggu ini ialah klimaks.

Kalau aku tak sekurang-kurangnya cuba untuk fikir dan pujuk diri sendiri atas semua yang dah jadi, aku akan gila. Aku tahu aku ada reputasi suka membesar-besarkan cerita. Tapi, ini bukan apa yang terjadi sekarang.

I’m not in a good place. Physically, mentally, and spiritually. Especially spiritually. This is my effort to save myself spiritually.

Semoga Allah beri ganjaran.

Aku sekarang duduk di atas lantai di dalam bilik yang kelam – sesekali meniarap, menulis draf luahan hati dalam fail Word, cuba memastikan setiap ayat dan perkataan yang aku gunakan betul untuk menggambarkan perasaan aku dengan sempurna sebelum publish. Cuaca di luar hujan lebat, katil yang kebiasaannya nampak menggiurkan pada cuaca begini, tidak aku hiraukan.

Aku ada kerusi, tapi aku mahu berada dalam keadaan yang tidak selesa. Supaya aku boleh fokus. Rasa tidak selesa membantu aku untuk fokus dengan lebih baik. Helps me to hold a thought longer.

Aku mahu siapkan post kali ini, hari ini juga. This is me being vulnerable to the world.

2 daripada 4 ekor kucing yang aku jaga dengan penuh kasih sayang tidur di sekeliling seolah menjaga aku. Daripada apa, aku tidak tahu. (Nah, this is me putting meaning into meaningless action. Told you, I’m losing my mind).

Aku ada jurnal. Dahulunya aku tulis setiap hari. Menggunakan pensil supaya mudah untuk aku padam. Entah bila, aku berhenti menulis. Jurnal aku gunakan untuk simpan fikiran dan luahan hati aku yang begini. The kind of thought, yang kalau aku beritahu orang, akan mengundang pendapat yang aku tidak mahu.

Aku cuma mahu didengari. Bukan dihakimi. Mendengar tanpa menghakimi itu bermakna, mendengar untuk memahami bukan untuk memberikan pendapat. Bukan juga kritikan. Aku tidak mahu dengar apa yang – pada pandangan orang lain, aku silap buat sebelum ini. Apa yang perlu aku ubah pada masa akan datang.

Kalau masa boleh berulang, aku akan buat hal yang sama. Dan kehidupan aku yang sekarang, aku tak rasa aku mahu ubah. Aku tak buat dosa, hatta tidak melanggar undang-undang dunia sekalipun. Jadi, kenapa aku kena ubah diri sendiri. I like who I am.

Lepas aku berhenti menulis, tangan aku jadi kekok. Tulisan jadi cakar ayam, lengan cepat lenguh, makan masa untuk menulis. Jadi, lebih baik aku menaip sahaja.

Sudah 2 bulan aku mula bekerja. Alhamdulillah. Apa yang aku doakan dalam tempat kerja yang baru ini, termakbul semuanya. Aku dapat kawan kerja yang baik. Gaji yang puas hati. Beban kerja yang aku mampu urus.

Tapi, kenapa, kenapa, kenapa, aku masih tak bahagia?

You see, if you leave your job in hope for happiness, you will be disappointed.

What a naïve thought to think you could be happy from your job.

Ini apa yang aku belajar.

Tempat kerja yang baru ini terletak kira-kira 2 jam daripada rumah. Gila, kan? Aku fikir aku muda, aku boleh lakukannya.

Masuk minggu yang ketiga, aku mula tidur pada setiap masa lapang yang aku ada. Aku lebih rela tidak makan tengahari daripada terlepas waktu tidur siang.

Sebulan yang pertama, aku habiskan dengan rasa takut yang amat sangat. I live on edge everyday. Tak pasti kenapa. Adakah sebab aku takut nampak bodoh? Yelah, kita orang baru, banyak benda tak tahu.

Tapi, takkanlah. Dalam tempat-tempat kerja yang lama, aku tak kisah langsung nampak bodoh, haha. Malah, kadang-kadang aku nak orang tahu yang aku tak tahu supaya orang akan ajar.

Atau mungkin – aku tak nak percaya benda ni, tapi aku kena pertimbangkan hal ini, sebab mungkin ada kebenaran di situ. Kalau aku nak simpan kewarasan aku ini, aku kena jujur dengan diri sendiri. Sebenarnya aku tak biasa dikelilingi dengan orang bukan Melayu?

Dua syarikat pertama aku bekerja dahulu, majoritinya ialah orang Melayu. Jadi, aku dah biasa cakap Melayu dan bergaul dengan orang Melayu. Bila masuk dalam syarikat ketiga di mana bahasa primari yang digunakan ialah Bahasa Inggeris, aku jadi takut.

But, this can’t also be it. Sebab walaupun aku tidak selesa berbahasa Inggeris, tapi aku boleh bercakap menggunakannya. Aku dibesarkan dalam kawasan di mana kaum India dan Melayu sama banyak. Jadi, sepatutnya, tiada masalah. Sedikit kekok pada awalnya, tapi lama-kelamaan aku jadi biasa. Tidak sefasih bahasa pertama, tapi orang faham aku, aku faham orang. Apa masalahnya?

Hal ini aku tak beritahu sesiapa, sebab lebih banyak buruk daripada baiknya. Rasa takut, gemuruh dan risau yang tidak bersebab ini aku simpan sendiri. Macam yang sudah aku tulis di atas, aku tidak mahu dengar di mana silap yang aku buat sebelum ini dan apa yang aku perlu ubah di kemudian hari.

Sebab aku tahu, aku tak buat silap di mana-mana pun. Ala, lagipun normal je kan rasa gemuruh bila masuk ke tempat baru? Dia jadi tak normal bila tidur aku terganggu kerananya.

Banyak malam yang terjaga dan hal pertama yang aku fikirkan ialah, “ya Allah esok kerja.” Aku pusing, resah gelisah di atas katil sehingga waktu aku kena bangun. Bila sampai masa di tempat kerja, aku sudah terlalu penat untuk buat apa-apa. Sebab hari aku bermula jam 2 pagi semalam, bukannya 9:30 pagi ini.

I was slowly losing my mind. I was at my wits end. I can’t handle this feelings alone. I have to share this with someone.

Afterall, shared misery is a misery halved. Semoga hati aku rasa lebih ringan selepas berkongsi mengenainya.

Beberapa kawan yang aku anggap sebagai rapat, aku hubungi. Aku beritahu mereka apa yang aku rasa. Rasa takut aku yang tidak bersebab, dan beberapa hal yang aku rasa boleh menjadi punca.

Hanya selepas aku luahkan, tuliskan semua yang aku rasa, baru aku sedar punca sebenar kepada ketakutan itu. Bukan external validation yang aku mahukan. Aku takut kepada diri sendiri. Aku takut hilang versi diri aku pada masa itu.

Dikelilingi dengan mereka yang tidak mengamalkan gaya hidup muslim yang baik, membuatkan aku merasa takut, kalau-kalau suatu hari nanti, aku juga menjadi begitu. Aku bukanlah muslim yang sempurna pun selama ini, tapi aku berpuas hati dengan siapa diri aku.

Ketiadaan tarbiyah yang baik, membuatkan aku sedar, betapa kerapnya aku ‘lihat’ Allah di mana-mana aku pergi, dan dalam apa jua yang aku buat. Aku rasakan Allah itu dekat. Melihat orang menutup aurat dengan sempurna, mendengar azan, peliknya mereka yang tidak solat.

Bukan seorang yang kata, “kau jadi je diri kau sendiri. Kau janganlah terikut-ikut dengan diorang,”, “ala, biasa je tu. Dekat mana-mana pun ada je orang tak solat.” Exactly my point. Aku tak mahu jadi macam mereka. Aku takut kalau aku jadi macam mereka.

Apa jaminan yang aku tidak akan menjadi seperti mereka? Macam mana kalau aku perlahan-lahan menjadi mereka tanpa aku sedar?

After all, you are the average of the five people you spend most time with.

Aku hadapi banyak tentangan terhadap perasaan yang aku alami. Seolah-olah pengalaman yang aku lalui itu semuanya hanya berlaku dalam kepala otak aku sahaja. Jadi sahaja diri sendiri, orang akan hormati aku. Tapi, how the hell do i do that?!

I am my own best friend. Even if everyone invalidate my feelings, I won’t. Even if no one is on my side, I will. I have learned my lesson, going against your feelings won’t do me any good.

Apa yang aku lalui ini ialah takdir Allah. Perasaan yang aku rasa, fikiran yang bermain di kepala semuanya dari Allah. Aku percaya. Mesti ada perkara yang Allahak ajarkan dan sampaikan kepada aku.

Aku tertanya, macam mana agaknya orang yang bermastautin dalam negara muslim minority agaknya? Ada yang sampai beranak-pinak, membina keturunan di sana. Bagaimana mereka agaknya? Bagaimana mereka jaga ketebalan dan ketinggian iman mereka?

Aku dah tahu punca. Tapi, macam mana aku nak tanganinya? I’m halfway there.

Ah, stressing over it won’t do me any good. Bila sampai waktunya tentu aku tahu. Bila sampai masanya, Allah akan beritahu. Sementara itu, aku hanya perlu buat yang terbaik sahaja.

And the best is what I did.

Macam-macam yang aku lakukan untuk mengalih perhatian daripada isu di tempat kerja. Work-life balance. Hal di tempat kerja, tinggalkan di tempat kerja. Kerja bukan sebahagian daripada kehidupan. Konsep ini juga sesuatu yang tidak masuk akal bagi aku.

Macam mana kau nak asingkan benda yang kau fikir dan buat 8 jam sehari, 5 hari seminggu, 22 hari sebulan, daripada kehidupan?

People who preach about it, also the same people who have it. Mereka yang dapat seimbangkan kehidupan dan kerja, ialah mereka yang bertuah. Mereka yang mahukannya, ialah mereka yang naif. Ini apa yang aku simpulkan.

Perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja selama 4 jam aku berusaha untuk isi dengan makanan spiritual. Apa-apa amalan yang sebelum ini aku anggap rutin, aku cuba ambil sedikit masa untuk renungi dan ambil iktibar.

Hujung minggu aku habiskan di luar rumah. Sangat-sangat jarang aku habiskan masa di rumah. Being alone with my thought scares me. I don’t want to think. But, if I don’t think, I cant experience. If I can’t experience, I can’t appreciate the present. Hence, why I feel like time flew by so fast. Time moved so fast, which bred more anxiety.

The toxic cycle.

Aku langsung tidak ingat apa yang berlaku selama 2 bulan yang lepas. Langsung. Tapi, syukur, aku sekarang ada tabiat untuk ambil gambar semua yang aku lalui. Sekecil-kecil benda pun. Sebab aku tahu, ini akan berlaku (ya, ini bukan kali pertama aku jatuh ke lembah kemurungan).

”You’re as happy as you decide to be!”

Kenyataan ini aku setuju semasa lewat remaja dahulu. Kebahagiaan itu semudah dengan satu keputusan. Tapi, hidup ini bukan hanya untuk bahagia. Dunia ialah tempat ujian dan sementara. Akhirat yang kekal abadi.

Untuk tenang dalam iman, perlu ada pergorbanan dan perjuangan. Apa jenis perjuangan yang tidak penat? Ini apa yang aku percaya sekarang.

29/9/2024, Ahad 8:04PM

P/S: 1.8k perkataan mengambil masa sepanjang hari. Pernah suatu masa dahulu, aku boleh taip 4000 perkataan 1 hari. Aku mundur sebagai seorang manusia.

Aku marah, bingung, dan takut semasa menulis semua ini.

Comments

  1. may Allah make everything easy for you, and especially, may all your anger, frustrations, confusions, fears be all rewarded. Let me know if you need anything.

    youre my favorite author ever.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih copea. Sayang copea. I really mean it when i say it 🫶

      Delete

Post a Comment

Popular Posts