Berdosakah jadi biasa-biasa?



Majoriti daripada populasi manusia terdiri daripada mereka yang biasa-biasa. Jadi, kenapa rasa berdosa?

 

I was never much of a go-getter. I still am not.

Penafian (disclaimer): Apa-apa yang ditulis selepas ini bukanlah cubaan untuk merungut atau membangga diri. Sekadar menyatakan fakta yang telah terjadi.

Masa zaman sekolah, aku ialah pelajar yang biasa-biasa. Selalu mendapat tempat dalam kelas pertama dan kedua, tetapi bukan pelajar sasaran untuk mengharumkan nama sekolah. 

Ada tahun-tahun yang entah macam mana aku berjaya mendapat penganugerahan sebagai pelajar cemerlang. Tapi, kebiasaannya? Aku hanya bertepuk tangan dari lantai dewan untuk kawan-kawan yang naik ke pentas pada hari penganugerahan.

Selepas mereka turun dari pentas, mereka kembali ke aku membawa plak penghargaan yang mereka dapat juga pada tahun-tahun sebelumnya. Tidak menipu kalau aku kata ini rutin setiap tahun.

Rutin ini mengajar aku untuk tidak cemburu dengan kejayaan orang lain.

Pengalaman berkawan dengan mereka yang aku rasa lebih daripada aku, mengajar aku besarnya peranan rezeki dalam membentuk kehidupan, tanpa menafikan peranan usaha.

‘Man jadda, wa jadda.’ Kenyataan ini benar hanya sampai ke satu tahap. Tahap di mana takdir pula yang berkuasa. Apabila sudah sampai ke tahap ini, lebih baik aku lepaskan daripada terus berusaha. 

Lepaskan bukan bermaksud berputus asa. Cuma menukar strategi.

Setiap orang mempunyai definisi 'terbaik' yang berbeza. Jelas, usaha terbaik aku masih kurang berbading ribuan manusia yang lain. Akan sentiasa ada orang yang lebih baik, pandai, cantik, berusaha keras, etc. etc. lebih daripada aku. Kena biasakan diri jadi biasa-biasa.

Pada waktu itu, hanya ada 2 sebab yang memotivasikan aku untuk belajar bersungguh-sungguh:

1. Perhatian emak dan ayah

2. Masa depan yang cerah doktor

Apabila umur aku mencapai 18 tahun, aku sedar dunia ini lebih luas daripada apa yang Emak dan Ayah bentukkan. Perhatian mereka bukan lagi keutamaan. Selepas habis SPM pada tahun 2014 di mana aku gagal mendapat A lurus, aku lepaskan cita-cita untuk menjadi doktor. Masa depan aku mungkin tidak secerah yang aku mahukan, tapi tidak gelap. 

Tidaklah teruk sangat. Aku boleh hidup dengan visi yang begini.

Apa-apa motivasi yang berbaki dalam diri, hilang. Aku bergerak menjelajahi kehidupan semata-mata dengan kuasa doa dan usaha yang minimal. Hanya cukup untuk aku lepas ke peringkat seterusnya. 

Tak pasti kalau apa yang aku cakap ni masuk akal atau tidak.

Atas rezeki Allah semata, selepas habis zaman belajar, aku berjaya mendapatkan pekerjaan tanpa menempuhi musim menanam anggur walau sebulan. Selepas latihan industri aku terus diserap masuk ke syarikat yang sama. 

Alhamdulillah, alhamdulillah.

Kemudian masuk ke zaman kerja, aku jumpa sebab baru untuk menjadi motivasi aku bergerak maju dalam kehidupan. Duit. 

Itu satu permulaan. Tak pastilah permulaan yang baik atau tidak. Tapi, aku mahukan duit yang halal, jadi aku rasa baik? Mungkin taklah mulia, tapi tidaklah berdosa. 

Selepas 3 tahun bekerja dalam syarikat yang sama dengan peningkatan gaji hanya RM200, sedangkan kawan-kawan aku (di tempat kerja yang sama) mula menginjakkan gaji mereka tahun demi tahun, aku mula rasa tidak selesa berada pada tahap yang sama. Mereka management buat keputusan untuk tidak menaikkan gaji aku, jadi aku pun buat keputusan untuk memilih pergi.

Pemergian aku agak emosional dan sangat dramatik. Haha. Oh well, we feel how we feel. You can only control how you act not how you feel. 

Beria aku menangis dan berdoa supaya aku diberikan kerja yang mempunyai ruang untuk aku belajar, dan gaji yang bagus. Terutama sekali gaji yang bagus. Untuk memulihkan ego aku yang tercalar. Untuk buktikan kepada mereka, “aku pun bolehlah! :P”

Allah makbulkan.

Kini, setahun selepasnya, dan 2 kali lompat kerja, gaji aku 3 kali ganda daripada apa yang aku pernah dapat sebelum ini. Tidaklah mencapai 5 angka, tapi aku pun tidaklah boros mana, jadi aku rasa dengan gaji yang aku ada sekarang sangat cukup untuk menampung aku sendiri tanpa komitmen apa-apa.

Remember, I was never much of a go-getter?

Aku pun tak tahu macam mana aku boleh daki setinggi ini. Tahu-tahu sahaja, sampai. Tahu-tahu sahaja, ya Allah gayatnya. Allah makbulkan doa yang aku menangis, merayu minta.

Pernah dengar, if you want to go quickly, go alone. If you want to go far, go together?

Inilah apa yang aku rasa sekarang. Aku sunyi. Dengan pengalaman aku yang masih junior, aku berdiri sama rendah dan duduk sama tinggi dengan mereka yang senior. Rasa kurang keyakinan diri dan pengalaman amat ketara antara aku dan rakan sekerja yang 10 tahun lebih tua daripada aku.

Not much of a go-getter + keyakinan diri yang rendah = bukan kombinasi yang baik

Duit kini bukan lagi motivasi. Aku tiada rangsangan untuk terus buat yang terbaik dalam kerja. Aku bukan saja malas kerja, aku juga malas tambah baik diri dari segala segi. Pendek kata, aku macam hilang sebab nak hidup.

Hal ini kompleks untuk aku terangkan. Skil menulis aku yang dah sangat banyak berkarat menghalang aku untuk terangkan perasaan ini dengan baik. Tapi, kesimpulannya, aku tidaklah depress, tapi andai kata mati esok pun aku tak kisah sangat sebenarnya.

Aku tahu hal ini sesuatu yang tidak baik. Kalau Allah mahu aku mati saat ini, dah lama aku mati. Fakta yang aku masih bernafas dan mampu bergerak hari ini, bermakna masih ada sebab Allah izin hidup. Aku je yang tak tahu apa sebabnya dan nak cari bagaimana.

Ya, aku tahu dalam al-Quran dah tulis sebab semua makhluk diciptakan adalah untuk menyembah Allah SWT. Tapi, berempatilah kawan-kawan dalam menghakimi. Ketahuilah, dunia ini juga ialah tempat ujian. Kalau semuanya semudah itu, sudah tentulah syurga layak menempatkan sekalian makhluk.

Seperti manusia lalai kesesatan yang lain, aku berdoa kerana buntu. Setiap hari yang aku paksa diri aku kerja dan pura-pura produktif, sambil tu aku doa supaya jumpa sebab hidup yang baru.

I spent too much time on my phone. I hate doomscrolling and yet I can’t stop. Tapi, saat ini terkecuali. Seperti biasa, sebelum tidur, aku akan main media sosial sehingga aku terlelap dengan sendiri. Tapi, malam itu aku tidak dapat tidur.

Macam mana aku mahu tidur jika video hospital dibakar berlegar-legar di timeline sosial media? Suara pesakit meminta tolong dari dalam hospital, masih hidup tapi tidak mampu bergerak kerana sakit. Mereka yang berada di luar tidak mampu menolong kerana api yang marak. Kedua-dua pihak menjerit bercakap dalam bahasa Arab yang tidak aku faham, tapi nama Allah disebut berkali-kali ke hujung video.

Bayangkan aku di tempat mereka. Boleh melihat satu sama lain, tapi tidak berdaya. Yang di dalam tidak mampu bergerak perlahan-lahan ditelan marak api. Yang di luar tidak mampu membantu hanya boleh melihat di dalam dimakan maraknya api. Kedua-dua pihak sama terdesak mahu menyelamatkan dan diselamatkan. Tapi, tidak mampu.

Apa yang mereka sebut waktu ini? Allah, Allah, dan Allah.

Video ini menerawang dalam fikiran aku untuk beberapa hari. Merenung kembali bagaimana aku telah jalani kehidupan aku selama 27 tahun ini.

Aku mahu selamatkan mereka. Aku mahu jadi antara mereka yang memaikan peranan dalam proses, strategi memerdekakan mereka. Suatu hari nanti, Allah akan tanya apa yang telah aku lakukan dalam menolong. Pada ketika itu, aku mahu aku ada poin yang dibawa dalam memberatkan timbangan.

Tak lama kemudian, berita kejahidan Yahya Sinwar pula berlegar-legar di timeline sosial media.

His last infamous pose before his death

Aku mengaku, aku tidaklah berilmu luas mengenai peperangan antara Palestin dan Israel, tetapi sesekali, apabila ada figura hebat politik Palestin yang meninggal dunia semasa peperangan, aku cuba juga belajar dan ambil tahu.

Gambar di atas ialah saat-saat terakhir Yahya Sinwar sebelum ditembak di kepala oleh Zionis. Pada waktu ini, dia dalam keadaan berlapar selama 72 jam, sebelah lengan telah dibom, dan beberapa jari yang sudah hilang.

Yahya Sinwar yang berusia 62 tahun, meski dalam keadaan yang hampir menjaminkan kematiannya, dia duduk di atas sofa, menunggu zionis laknatullah datang menyerang. Apabila kapal drone datang ke arahnya, dengan sebelah lengan yang masih bersisa dia baling serpihan kayu yang tidak memberi kesan pun kepada drone itu.

Aku yakin Yahya Sinwar lelaki yang bijak. Sebelum dia membaling serpihan kayu itu, aku yakin dia tahu dia sudah berada pada saat-saat terakhir kehidupannya. Jauh sekali memenangi peperangan ini. Tapi, dia tetap membaling kayu itu sebagai penentangan terakhir.

The real epitome of, berjuang sehingga ke titisan darah terakhir.

Dan aku, dengan masalah bandar permodenan aku. Dengan masalah yang kompleks untuk aku terangkan kerana skil menulis aku yang dah sangat banyak berkarat menghalang aku untuk terangkan perasaan ini dengan baik.

Dapatlah aku simpulkan bahawa akar kepada masalah aku ini ialah kerana kurangnya rasa syukur. Dan kenapa aku tidak bersyukur? Kerana aku tidak berilmu.    

Kalaulah semua umat Islam yang ada di bumi ini bersifat seperti aku, tak terkejutlah kalau Islam boleh jatuh terduduk merudum sekalipun penganutnya berjumlah bilion dan paling banyak di dunia. Semuanya berkualiti seperti buih.

Hadis Rasulullah SAW

Kita bolehlah buat pilihan untuk jadi biasa-biasa dan hidup hari demi hari.

Tapi, ingatlah kawan-kawan. Dunia ini tidak selamanya. Suatu hari nanti kita akan mati dan Allah akan soal tentang pilihan kita untuk menjadi biasa-biasa dahulu.

Comments

Popular Posts