I miss being young

 

27 year old me with newly formed wrinkles

Selepas aku melangkau ke umur 25 tahun, aku mula perasan yang aku ada kedutan baru di sekeliling mata.

Ini bukan sekadar kedutan yang terhasil apabila senyum sahaja. Kedutan itu terus ada dan berbekas di situ tidak kira perasaan apa yang aku alami dan aktiviti apa yang wajah aku lakukan. Aku beritahu hal ini kepada kawan-kawan rapat.

Mereka dapati, mereka juga ada masalah yang sama.

Macam-macam langkah penjagaan muka yang mereka cadangkan, dan macam-macam juga yang aku dah lakukan. Dengan harapan kedutan ini hanyalah sementara. Dan setiap pagi, aku dapati, kedutan itu masih wujud.

Aku kini putus asa dan terima kenyataan. Umur aku sudah makin meningkat dan aku tidak lagi tergolong dalam kalangan ‘orang muda’.

Copea marah setiap kali aku kata aku tua. Bagi Copea, 27 ialah (aku petik kata-kata dia) “prime time.” Ini ialah isi yang dia bawa untuk menyokong pendirian dia:

  1. Sudah ada duit
  2. Sudah ada skil (kehidupan)
  3. Tidak bodoh

Hujah yang dia bawakan, kuat. Aku setuju dengan pendirian dia, sehingga ke tahap tertentu.

Bila aku cakap aku tua, aku bukan maksudkan secara literal.

Aku sihat. Aku ada duit (cukup untuk tampung diri sendiri). Aku masih ada Emak dan Ayah. Aku masih ada Adik dan Abang. Aku juga ada Kak Capiah dan Ucop. Aku ada Sambal, Marie, Oreo, dan Musafir (dan beberapa lagi yang kadang-kadang datang rumah).

Tapi, semua ini tidak akan kekal. Life goes on, people move on. Itulah lumrah kehidupan. Aku faham dan aku terima.

Yang aku risaukan ialah, jika perubahan itu berlaku tanpa aku sedar.



Kalian tahu macam mana kali terakhir kita berjumpa dengan teman sepermainan tanpa majlis perpisahan yang berlaku? Tanpa kata selamat tinggal yang diucapkan? Sebab tiada siapa yang tahu itu ialah kali terakhir. Zaman kanak-kanak dah berakhir dan tiada siapa yang tahu.

Percaya tak kalau aku cakap yang baru-baru ini aku berpindah keluar dari rumah Emak dan Ayah dan hidup berdikari? Terkejut, kan? Aku pun terkejut haha. Apa pun, perpindahan ini berjaya jimatkan masa ke tempat kerja sebanyak 1 jam setengah dan belanja RM300 (lebih kurang) setiap bulan.
Nota: Aku dah pindah masuk semula ke rumah Emak dan Ayah selepas sebulan. Panjang cerita dia😆

Ini ialah apa yang dapati selepas sebulan hidup berpisah dengan Emak dan Ayah buat pertama kali dalam jangka masa yang panjang:

  1. Sunyi. 30% daripada hari aku terdiri daripada keheningan. Setiap hari aku akan telefon Emak sekurang-kurangnya sekali. Terutama kali waktu sebelum tidur. Terutama sekali waktu itu. Sebelum tidur ialah waktu yang paling bising sekali otak aku ini.

Ada 24 jam sehari, dan dia buat keputusan untuk bising 2 jam sebelum aku tidur.

  1. Sewa mahal. Mahal gila. Mahal nak mampus, literally. Aku fahamlah. Kalau nak selesa memang kena bayar mahal. Tapi, RM1000? Dah gila agaknya mereka ini.

2 isu di atas buatkan aku terfikir. Lama aku fikir. Aku tak tahu apa yang aku cari. Mungkin solusi. Tanpa aku sedar, aku yang sebenarnya mahu berpisah dengan Emak dan Ayah, yang mana sangat bercanggah dengan entri kali ini. Tercetusnya idea untuk tulis entri ini kerana, aku rindukan Emak dan Ayah.

Solusi paling mudah, paling murah, dan paling pendek yang aku jumpa ialah dengan tunggu Adik. Adik akan habis belajar lebih kurang setahun sahaja lagi. Kemudian, apabila dia masuk ke latihan industri, aku mungkin boleh cadangkan dia masuk ke dalam salah tempat kerja lama aku yang kesemuanya terletak di tengah bandar. Kami boleh menyewa sama-sama.

Aku dah fikir, apabila sampai masanya adik bergelar graduan dan mula bekerja, berapa pula gaji aku pada waktu itu. Berapa pula yang aku sanggup belanjakan untuk hidup berdua dengan dia. Berapa pula yang akan aku ambil dari duit gaji dia sekadar cukup untuk untuk mengajar dia erti tanggungjawab. Apa pengajaran hidup yang boleh aku sampaikan kepada dia sepanjang kami hidup bersama-sama yang tidak dapat aku sampaikan semasa tinggal dengan Emak dan Ayah kerana perbezaan nilai yang kami pegang.

Aku dah fikir semuanya. Adik cuma perlu habiskan pembelajaran dia sahaja.

Satu masalahnya ialah, Adik mempunyai perancangan lain selepas belajar. Dia nak kahwin. Atau sekurang-kurangnya bertunang dan tak lama kemudiannya berkahwin. Adik tak mahu tunggu lama sebab hubungan mereka dah serius dan dah makan bertahun juga.

Yang mana aku faham juga.

Aku rindu zaman di mana, aku tak perlu tanya apa perancangan masa depan Adik untuk luangkan masa bersama dia. Aku tak perlu tanya apa aktiviti Abang hujung minggu untuk aku ajak dia buat sesuatu. Semua orang ada di rumah dan sentiasa ada di rumah. Tidak pernah tidak cukup ahli.

Sama ada rumah penuh, atau rumah kosong. Tiada pertengahan.

Membesar, kami sangat jarang keluar rumah. Sangat jarang. Sepanjang zaman persekolahan, dalam setahun, aku rasa boleh kira dengan jari berapa kali sahaja Emak dan Ayah bawa kami keluar berjalan-jalan. Paling-paling pun, keluar ke rumah saudara-mara yang kini kami dah tak jenguk sebab berebutkan tanah sekangkang kera dan perangai masing-masing yang semakin menyerupai monyet semakin tua.

Nak kata kami adik-beradik tak pernah merungut, tipulah. Tapi, kami rasa cukup. Aku rasa cukup.

Aku rasa kenapa hobi ialah satu aktiviti yang penting untuk aku ada, dan aku sangat-sangat berat untuk korbankan ialah, sebab membesar, aku lihat Emak dan Ayah buat hobi mereka. Kami tidak keluar pada hujung minggu ialah kerana Emak menjahit dan Ayah bercucuk tanam.

Membesar melihat ini, aku, Abang, dan Adik juga mempunyai hobi. Aku suka baca buku. Abang suka menyanyi nasyid, dan Adik suka main panas.

Abang memang nyanyi lagu-lagu nasyid sahaja secara spesifik. Kalau nyanyi genre lain pun, bila sampai dekat Abang akan dinasyidkan. Selepas berpuluh-puluh pertandingan Abang dah sertai, selepas zaman persekolahan Abang dan 3 orang kawan dia yang lain ada tubuhkan kumpulan nasyid Syafi-e.

Aku masih ingat bagaimana terujanya Abang memberitahu tentang penubuhan Syafi-e dari tempat duduk belakang kereta kepada Emak dan Ayah yang duduk di depan. Lurus tulang belakang Abang yang duduk di tempat duduk tengah. Aku masih ingat lagi Abang cerita cita-cita mereka ialah untuk membuat persembahan ke luar negara dimulai dengan Singapura.

Dalam perjalanan menggapai cita-cita, mereka kemudiannya disibukkan dengan kehidupan dan kumpulan Syafi-e dibubarkan.

Hanya sempat buat persembahan walimatulurus sekitar Malaysia sahaja

Aku sangat-sangat suka baca buku, dulu. Aku bukan faham isi buku dan jalan cerita pun. Aku suka fakta yang aku tak perlu bergerak dan dalam pada masa yang sama, aku juga sedang buat aktiviti. Berjam-jam aku baca buku tanpa memahami isinya dalam sehari. Terutama sekali pada cuti sekolah, aku boleh membaca sehingga jam 2 pagi.

Buku Harry Potter yang mempunyai lebih daripada 1000 mukasurat aku habiskan dalam masa 1 minggu. Itu ialah rekod terbaik aku.

Ini ialah koleksi buku yang aku kumpul seumur hidup, yang aku sedar tak banyak mana pun sebenarnya. Tapi, aku seronok dengan apa yang aku ada 🫶

Masa kecil dulu, berbeza dengan hubungan kami sekarang, aku dengan Adik tak berapa ngam. Aku tak ingat apa hobi dia masa kecil. Jadi, beberapa hari lepas aku Whatsapp dia, tanya. Katanya, “main panas.”

Masa Adik cakap begini, aku macam bingung-bingung sikit. Jadi, aku gelak. Bila aku cari gambar lama Adik, baru aku teringat dan faham dengan apa yang dia maksudkan.

Gambar lama Adik. Ada mirip-mirip Dora the Explorer. Ada nampak macam muka budak yang suka main panas, kan?

Semasa kecil, Adik 180º berbeza dengan aku. Bukan nak kata sesiapa lebih baik daripada sesiapa, Allah je yang tahu berapa kerap aku berharap aku ada personaliti seperti Adik supaya aku lebih bahagia, tapi Allah dah tetapkan aku begini, dan Adik begitu. Dan aku dah terima hal ini.

Masa kecil Adik lebih bersifat tomboy. Adik suka main basikal. Setiap masa luang yang dia ada, dia akan main basikal. Pernah sekali, dia terjaga tengah malam dan tidak mahu tidur semula. Bila Ayah tanya apa yang dia mahu buat tengah-tengah malam begini, jawabnya, “Main basikal.”

Di samping Emak bekerja sebagai pegawai kerajaan sepenuh masa, Emak juga menjahit. Setiap hari Emak akan menjahit sehingga jam 12 malam. Ayah minat dan berbakat dalam berkebun. Apa sahaja yang Ayah tanam akan tumbuh dengan subur, atau sekurangnya begitulah dalam ingatan aku. Hasil daripada kebun kecil itu, Ayah akan beri pada Emak keperluan rumah selebihnya Ayah akan jual ke kedai-kedai runcit.

Aku rindu saat-saat ini.

Copea kata, aku masih ada mereka di hadapan mata. Kalau aku tidak hargai mereka sekarang dan terus rindukan zaman lampau, penyesalan yang aku rasakan sekarang tidak akan berhenti di sini. Yang mana aku setuju lagi.

Aku harap aku buat yang terbaik untuk hargai mereka. Aku harap mereka tahu aku hargai mereka. Aku harap mereka rasa dihargai. The best way to love is the way they feel loved.


Comments

Popular Posts