Tawaf Wada'

Bilik yang diami 5 minggu yang lepas

Selepas kurang daripada 9 jam penerbangan dari Jedah ke KLIA, aku akhirnya sampai ke rumah lebih kurang jam 2 pagi, 16/6/2025. Benda pertama yang aku cari ialah, Sambal. Selepas meninggalkan dia selama 6 minggu, aku risau kalau dia sudah tidak sayang aku lagi – kena beli hati dia pulak.

Mengejutkan, aku terus jumpa dia tidak sampai seminit pencarian. Sebaik sahaja aku selak langsir bilik, aku lihat tubuh kecil dia bergulung di atas lantai kaki almari mekap. Badan yang keletihan tidak mendapat tidur lena lebih daripada 24 jam aku bongkokkan dan usap-usap Sambal. Aku bisikkan kata-kata salam kerana sudah lama tidak jumpa, maaf kerana buat dia tunggu lama, dan janji-janji manis untuk masa akan datang.

Hal kedua yang mengejutkan aku ialah, betapa gelapnya bilik aku. Tidur dalam keadaan yang terang selama 5 minggu buat aku terlupa betapa gelapnya bilik di rumah. Blackout curtain yang Emak hadiahkan beberapa bulan lepas, jelas melaksanakan fungsinya dengan baik.

Aku orang yang sensitif waktu tidur, jadi persekitaran tempat tidur sangat aku titik beratkan bagi menjaga kualiti tidur. Keadaan mesti gelap, suasana mesti senyap, bantal mesti empuk, katil mesti dingin. Bilik hotel yang aku diami di Tanah Haram Mekah tidak penuhi semua syarat ini.

Tapi, hati aku meronta mahu kembali ke sana.

16/6/2025, 8:35 PM. Selubungan aku di atas katil disentak dengan gema azan Isyak. Seharian sudah aku tidur menahan sakit tekak, sakit dada, sakit perut, sakit kepala, dan demam yang hampir tiba. Malamnya aku melayan rasa lemahnya badan dengan penuh kesedaran.

Ini ialah azan terakhir aku di sini.

Jiwa aku penuh dengan rasa hiba dan kesal. Beberapa kali ustaz mutawif ada nasihati para jemaah dengan menghabiskan hari-hari terakhir kami di sini dengan ke masjid. Sebab, entah bila akan dijemput lagi. Duit tu mungkin ada, tapi jemputan tu yang tiada.

Aku sedih sebab nasihat itu tidak dapat aku ikuti. Bukan aku tidak mahu. Tapi, aku tidak boleh.

Diam aku menekuni bacaan solat Isyak imam malam itu daripada atas katil. Waktu-waktu beginilah aku harap aku faham Bahasa Arab. Supaya diamnya aku mendengar bukan sekadar menghormati bacaan Al-Quran, tetapi kerana menghayati juga. Moga, suatu hari nanti.

Kalau ingatan tidak mengkhianati, ini ialah kali keempat aku menziarahi Tanah Haram. Kesemua kalinya aku tidak dapat membuat tawaf wada’ – kerana faktor kesihatan atau faktor biologi atau kedua-duanya sekali.

Semoga ini tanda, ya Allah. Semoga ketidakizinanMu untuk aku melakukan tawaf selamat tinggal ialah tanda untuk Engkau mahu menjemput aku lagi. Semoga ini bukan kali yang terakhir, ya Allah. Janganlah Kau jadikan ini kali yang terakhir.

Pelik, ya. Sebaik sahaja aku sampai ke bilik sendiri yang penuhi syarat tempat tidur yang aku mahu, jiwa aku meronta mahu kembali ke hotel 1 bintang itu. Malam yang terang dengan cahaya jalan. Suasana yang bising dengan hon kereta. Penghawa dingin yang kejap hidup mati.

Mungkin, tidur yang lena itu bukan terletaknya pada keselesaan bilik. Tapi, pada penuhnya keperluan spiritual.


 

Comments

Popular Posts